Saturday, July 18, 2009

13 Mei

TRAGEDI BERDARAH 13 MEI1969

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.


Pilihanraya umum 1969 menyaksikan banyak isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen dijadikan tema utama sepanjang kempen yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.


Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah mendapat kemenangan besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau telah meminta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.

Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.
Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tapi permohonan maaf sudah terlambat.
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak. Perarakan ini tidak dirancang.
Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu arahan daripada Dato' Harun Idris untuk mengamuk. [perlu petikan]
Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap-luap. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor. Terdapat cerita-cerita lain mengenai seorang wanita mengandung dibunuh dan kandungannya dikeluarkan dari perut dengan menggunakan besi penggantung daging babi.Sebelum menghembuskan nafas terakhir wanita tersebut sempat memasukkan semula janin yang terkeluar itu ke dalam perutnya.
4.00 petang dua penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.
Cerita-cerita seperti ini yang tidak diketahui sama ada benar atau tidak telah menyemarakkan lagi api permusuhan di antara Melayu dan Cina. Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.
Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari orang-orang Melayu, Iban, Cina, India, Sikh, Gurkha dan lain-lain turut menembak orang-orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina.
Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar Selangor.
Akhirnya Regimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa askar Askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Malah ada askar melayu yang menembak ke atas rumah kedai orang Cina kerana kononnya mereka telah membaling botol ke arah askar melayu tersebut. Ada yang berkata askar tersebut berpakaian preman.
Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah di Sungai Klang berhampiran lorong Tiong Nam, Chow Kit. Konon ada rakaman televisyen oleh pemberita dari BBC dan Australia, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti yang diedarkan mengenai rakaman ini.
Pemuda-pemuda Cina dari kongsi-kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut ramai yang mati. Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Manakala di pasar pula askar melayu telah menembak orang cina dengan kereta perisai mereka kononnya melanggar perintah berkurung. Di lebuh raya persekutuan pula, penduduk melayu Kampung Kerinchi telah membuang pasu di atas lebuhraya tersebut dan mengakibatkan kesesakan lalulintas dan kemalangan. Pemilik kereta berbangsa cina ditetak dan dibunuh. Seluruh keluarga peniaga cina yang menjual bunga berdekatan habis dibunuh. Di lapangan terbang Sungai Besi waktu itu yang merupakan lapangan terbang antarabangsa, askar melayu telah menembak orang Cina yang baru balik dari luar negeri kononnya melanggar perintah berkurung.
Panggung Odeon
Seorang polis bernama Rahim yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Akibat daripada tindakan sebegini, orang-orang Melayu mulai bertindak balas, dan dikatakan kepala orang Cina yang dibunuh diletakkan di atas pagar.
Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan.
Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.
Ada 4 kiai di sekitar Kampung Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat, iaitu ilmu kebal dengan harga yang agak mahal. Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang. Apa yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu. Mungkin juga ramai yang pernah mendengar kisah parang terbang yang terbang di Kampung Cheras Baru dan penggal kepala orang Cina.
Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tiada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa kerana telah diberi amaran oleh PKM. Cuma ada sedikit kekecohan di Melaka. Di Betong ada tembakan dilepaskan oleh PKM dan mereka memberi amaran jika askar melayu menembak orang cina, mereka akan memberi senjata api kepada orang cina.
Ada yang menyifatkan pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan "politik" Datuk Harun dengan sokongan Tun Razak yang tidak berpuas hati dengan Tunku Abdul Rahman bukannya perkauman kerana pemimpin cina Parti Perikatan seperti, Tan Siew Sin, Ong Yoke Lin telah "lari" bersama dengan Tunku Abdul Rahman ke Cameron Highlands. Sebelum peristiwa itu masyarakat Melayu dan Cina boleh hidup dalam keadaan yang harmoni. Seperti dinyatakan pergaduhan tidak belaku di negeri Melayu seperti Kelantan, Pahang dan Kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, pastinya pada hari itu orang cina dan melayu akan berbunuhan sesama sendiri di negeri tersebut seperti di selatan thai.
Kesimpulannya, pergaduhan ini bukanlah rusuhan perkauman, kerana ia hanya terjadi selepas pilihanraya (perbezaan politik) dan hanya melibatkan orang-orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur menjadi mangsa agenda Datuk harun dan Tun Abdul Razak. Akhirnya selepas Tun Abdul Razak meniggal dunia dan Tun Hussein Onn dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan Datuk Harun ditangkap kerana pecah amanah duit bank rakyat. Datuk Harun telah menaja Muhammad Ali kononnya juga beragama Islam untuk datang ke Malaysia berlawan tinju dengan Joe Bugner untuk menunjuk-nunjuk bahawa orang Islam mampu menandingi barat. Perlawanan tersebut mengalami kerugian kerana diboikot akibat kecelakaan Datuk Harun semasa peristiwa Mei 13. Datuk Harun juga berhasrat untuk mencabar tempat Tun Hussein Onn .
Persepsi negatif masyarat Melayu terhadap kaum Cina juga berlaku kerana orang Cina merupakan majoriti menganggotai pasukan Bintang Tiga yang ingin menjadikan negara ini sebagai negara komunis. Selain itu, selepas kekalahan Jepun, MPAJA bermaharaja lela selama dua minggu dengan memerintah secara kuku besi dan ramai orang melayu dan cina yang menjadi tali barut Jepun telah dikenakan hukuman bunuh.
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 20,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei. [1]
Statistik tidak rasmi jumlah kematian:
  • Melayu : 86 orang
  • Cina : 342 orang
  • Lain-lain : 3 orang
Statistik tersebut tidak begitu tepat kerana daripada kacamata orang ramai yang menjadi saksi, mereka melihat berderet-deret lori membawa mayat yang tidak sempurna ke balai polis Jalan Travers waktu itu.

Peristiwa 13 Mei telah memberi impak yang amat besar terhadap perpaduan kaum di negara kita. Kesannya, Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah meletakkan jawatannya ekoran dari tragedi ini yang disifatkannya satu kegagalan bagi dirinya.
Beliau digantikan oleh Tun Abdul Razak yang telah memperkenalkan MAGERAN dalam mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Hasilnya, Prinsip Rukun Negara telah pun diperkenalkan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia terpelihara.


Wednesday, July 15, 2009

1 Malaysia....Rakyat didahulukan...Pencapaian diutamakan...

1 MALAYSIA....RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN


Tanggal 3 April 2009, Negara menyaksikan satu lagi sejarah yang bakal merubah senario kepimpinan tanah air kita apabila Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah di hadapan yang di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. Beliau menggantikan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 setelah memimpin negara dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

Sepanjang era pemerintahan Pak Lah, beliau telah melakukan pelbagai pembaharuan dalam kerajaan antaranya ialah melalui kempen banteras rasuah, memajukan sektor pertanian dengan memperkenalkan prinsip "Pertanian adalah Perniagaan' serta pengenalan "Islam Hadhari" yang tidak kurang memberikan impak yang amat berguna kepada rakyat. Selain itu beliau turut berusaha ketika dalam pemerintahannya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang 'Cemerlang, Gemilang & Terbilang.


Dalam Ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, Dato' Seri Najib memperkenalkan satu konsep baru dalam misi dan visinya untuk memacu Malaysia menjadi sebuah Negara yang lebih terkehadapan dan mencapai status negara maju pada tahun 2020. "1 Malaysia , Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan"


Berdasarkan konsep 1 Malaysia ini, beliau optimis akan memastikan kepentingan rakyat lebih terjaga serta memastikan Negara mencapai tahap yang setara dengan negara-negara maju yang lain.


Adalah diharapkan agar beliau dapat memacu negara ke arah kestabilan dari segala aspek terutamanya perpaduan.Perpaduan merupakan isu yang amat penting lebih-lebih lagi bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia. Gagasan 1Malaysia merupakan satu platform yang amat sesuai untuk dijadikan batu loncatan untuk menyatukan masalah-masalah berkaitan isu-isu perkauman di negara ini.

1 MALAYSIA..RAKYAT DIDAHULUKAN,PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Thursday, May 7, 2009

Rukun Tetangga..Ejen Perpaduan Komuniti


Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga di perluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.

Sehingga Mei 2006 sebanyak 3,228 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan diseluruh negara. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka. Dari bulan Januari hingga Mei 2006 Jawatankuasa Rukun Tetangga di seluruh negara telah melaksanakan sebanyak 36,029 aktiviti. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.

Saturday, April 4, 2009

SARAWAK TANAH AIRKU

SARAWAK....Negeriku....Tanah tumpah darahku...

IBU PERTIWIKU
(Sarawak State Anthem)

Sarawak tanah airku
Negeriku tanah airku Sarawak
Engkau lah tanah pusakaku
Tanah tumpah darahku
Ibu pertiwiku

Rakyat hidup mesra dan bahagia
Damai muhibbah sentiasa
Bersatu berusaha berbakti
Untuk Sarawak ku cintai

Sarawak dalam Malaysia
Aman Makmur rahmat tuhan Maha Esa
Kekallah Sarawak bertuah
Teras Perjuangan Rakyat
Berjaya berdaulat


Sarawak.....tanah airku....merupakan negeri terbesar di Malaysia. Negeri Sarawak, atau lebih dikenali dengan jolokan 'Bumi Kenyalang' merupakan antara negeri yang paling unik di Malaysia kerana Sarawak memiliki lebih dari 30 etnik berlainan selain dari 3 etnik utama Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Dengan keluasan sejumlah 124,450 km persegi, Sarawak terbahagi kepada 11 bahagian iaitu Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.









Antara etnik yang menghuni Bumi Kenyalang ini ialah etnik Iban, Melanau, Orang Ulu, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan, Lumbawang dan sebagainya. Disebabkan variasi etnik yang pelbagai di Sarawak, ini telah menyebabkan terdapatnya kepelbagaian dari pelbagai sudut termasuklah bahasa, budaya, adat resam, pemakaian, makanan, gaya hidup dan sebagainya.
Kepelbagaian ini telah menarik minat pelancong dari dalam ataupun luar negara untuk berkunjung ke Sarawak.








PERPADUAN @ MALAYSIA

Definisi Perpaduan

- Satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.

- Perpaduan masyarakat merupakan sebahagian yang penting daripada perpaduan negara. Oleh itu adalah mustahak bagi kita meneliti latar belakang dan ciri-ciri masyarakat majmuk di negara kita.